Monday, July 27, 2009

Lori Maut...


Komen:

Sudah tiba masanya hukuman yang lebih berat dikenakan untuk pesalah kenderaan besar/berat, seperti, treler, lori, dan sebagainya. Selain itu, syarat untuk kelulusan lesen kenderaan berat juga patut diteliti dan diperketatkan.

Pemeriksaan kesihatan yang lebih rapi untuk memastikan pemandu lori bebas daripada penyalahgunaan dadah. Selain, mereka perlu menghadiri kursus ‘Pemandu berhemah’ juga sangat digalakkan.

Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia perlu lebih proaktif dalam hal ini.

URLhttp://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090727062747/Article (27th July 2009)
Lori terbang
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

MARAN: “Berderau darah saya melihat mayat bayi dalam longkang, tiga mayat lagi bergelimpangan, manakala satu lagi tersepit dalam kereta.

“Saya menitiskan air mata kerana suasana ketika itu begitu dahsyat dengan keadaan mayat cukup mengerikan terutama mayat bayi itu yang pecah kepala hingga menampakkan isi,” kata Azmi Mohamad, 42.

Dia antara saksi awal kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dengan Perodua Kenari di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhampiran Kompleks Rakan Muda Maran di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lima sekeluarga terbabit maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena ‘terbang’ sebelum diseret kira-kira 80 meter dan melanggar tebing bukit.


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090726085212/Article/index_html (26th July 2009)
Umur panjang
Oleh MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Pantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib seorang pelajar perempuan yang masih panjang umur walaupun dilanggar dan terseret di bawah sebuah treler sejauh enam meter, mengakibatkan tulang di pinggang patah selain mengalami pendarahan dalaman di kepala dalam kemalangan di Jalan Kempas Lama, Seelong-Senai di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas, Nur Farina Azhar, 13, yang tersangkut di bawah treler berukuran 14 meter selamat dikeluarkan dalam tempoh 10 minit oleh sekumpulan penduduk Kampung Maju Jaya sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kemalangan di depan rumah pelajar berkenaan turut disaksikan ibunya, Haliza Hashim, 37, selain seorang adik bongsunya serta beberapa rakan mangsa yang ada di dalam bas sekolah. Haliza berkata, kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata apabila anak ketiga daripada lima beradik itu ingin melintas jalan untuk menaiki bas sekolah.

“Kejadian itu seolah-olah berlaku dalam mimpi kerana sebaik Farina bersalam dan meminta kebenaran untuk ke sekolah, tiba-tiba treler berkenaan yang dipandu laju terus melanggarnya.

“Saya yang berlari ke arahnya terkejut apabila mendapati dia tersangkut dan ada di bawah kenderaan berat itu dengan kesan darah di beberapa bahagian anggota badan.

“Saya hampir putus asa pada awalnya melihat keadaan Farina berikutan dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Tambahan pula darah yang keluar dari telinga dan mulut tidak berhenti selama beberapa jam,” katanya.

Haliza berkata, yang mengecewakan, pemandu treler berkenaan seolah-olah lepas tangan dan enggan bertanggungjawab di atas kejadian itu. Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an masih tidak berjumpa keluarganya biarpun menyedari keadaan anaknya belum stabil dan dirawat di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) di tingkat empat hospital terbabit.

“Lelaki berkenaan sepatutnya memperlahankan kenderaan ketika menggunakan laluan berkenaan memandangkan ia kawasan perkampungan dan biasanya menjadi tempat pelajar sekolah menunggu bas,” katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm (26th July 2009)

LIMA MAUT DIREMPUH LORI DAN TRELER
Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my


KERETA Proton Wira Aeroback remuk teruk setelah dirempuh oleh lori treler di persimpangan lampu isyarat di Pekan Kelapa Sawit, Kulaijaya, semalam. Gambar kecil, dua daripada mangsa yang terbunuh, Zakaria Marjone, 40, dan isterinya, Hawa Kassim, 40.
________________________________________

KULAIJAYA 25 Julai – Lima termasuk empat beranak maut setelah kereta yang mereka naiki dirempuh dari belakang oleh sebuah treler yang dipercayai dipandu laju ketika berhenti di lampu isyarat di Kilometer 42, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Pekan Kelapa Sawit di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 2 petang itu mengakibatkan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang mereka naiki terseret ke hadapan lalu tersepit di belakang sebuah lori membawa muatan pasir.

Mangsa yang terbunuh ialah Zakaria Marjone, 40; isterinya, Hawa Kassim, 40; dua anak pasangan itu, Nor Fatin Nadia, 13; dan Mohd. Amirul Fahmi, 10; serta anak jiran mereka, Awaludin, setahun. Dua lagi anak pasangan berkenaan, Mohd. Aidil Hakim, 16, dan Mohd. Faris, 8, cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat. Katanya, kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat tetapi dirempuh oleh sebuah treler yang gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju.

“Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa remuk setelah terseret dan tersepit di belakang sebuah lori pasir di hadapannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Zulkefly berkata, pemandu dan dua kanak-kanak mati di tempat kejadian, manakala isterinya dan seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia sebaik sampai di Hospital Kulai, di sini.

Menurutnya, dua lagi anak pasangan itu yang parah masih dirawat di hospital sama. Pemandu treler terbabit ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.