Friday, July 24, 2009

H1N1 UiTM

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm (24th July 2009)

UiTM Dungun pula ditutup
DUNGUN 23 Julai - Selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Seri Iskandar dan Permatang Pauh ditutup berikutan pelajarnya disyaki menghidap selesema babi atau Influenza A H1N1, kini kampus UiTM Dungun turut menerima nasib serupa.

Kampus UiTM Dungun itu diarah tutup selama seminggu bermula pukul 10 pagi ini sejurus pengumuman mengenainya dibuat oleh pihak pentadbiran kampus. Sejurus itu, sejumlah pelajar mula meninggalkan kolej masing-masing dan akan akan diteruskan secara berperingkat-peringkat pada malam ini dan esok.

Seorang pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Ezzaty Abdullah, 19, ketika ditemui berkata, dia sudah menjangka kampus itu akan ditutup apabila ramai pelajar mengalami demam panas selepas pulang daripada bercuti pada 20 Julai lalu.

"Saya dah mula syak, mungkin kampus kami akan turut ditutup kerana ramai pelajar yang pulang dari bercuti selepas cuti umum 20 Julai lalu kena demam teruk," ujarnya yang berasal dari Bentong, Pahang.

Rakannya, Wan Mohd. Farhan Omar, 20, juga memberitahu, dia mula tidak sedap hati apabila menyedari ramai pelajar mengalami demam panas kira-kira pukul 12 tengah malam tadi dan menjangka kampus itu akan ditutup.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm (23rd July 2009)

UiTM Permatang Pauh ditutup
Oleh ABDUL MUIN SAPIDINmuin.sapidin@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 22 Julai - Para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini mula meninggalkan kolej masing-masing selepas kampus itu diarah tutup ekoran 10 pelajarnya disahkan positif virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Tinjauan Utusan Malaysia di kampus tersebut hari ini mendapati, banyak kenderaan dilihat keluar masuk membawa pelajar sejak pukul 11 pagi dengan kawalan ketat pihak pengawal keselamatan.

Difahamkan, 200 pelajar lagi yang mempunyai simptom H1N1 ditempatkan di beberapa blok hostel iaitu Kolej Baiduri, Zamrud dan Mutiara sehingga mereka disahkan sembuh sepenuhnya.
Pelajar kursus Kejuruteraan Awam, Edinur Ali Muhammad, 19, yang ditemui memberitahu, dia turut dikuarantin selama dua hari mulai Sabtu lalu tetapi dibenarkan keluar selepas didapati tidak mengalami simptom virus tersebut.

''Pihak pengurusan universiti membuat pengumuman kira-kira pukul 11 pagi ini dan saya dan rakan-rakan terus bergegas keluar," katanya yang akan pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan.

Kampus tersebut diarah ditutup selama tujuh hari mulai hari ini berikutan 10 pelajarnya dijangkiti wabak tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Arahan penutupan serta-merta kampus itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pagi ini bagi mengelak penularan wabak berkenaan di kampus tersebut yang mempunyai kira-kira 5,000 pelajar.

Seorang lagi pelajar, Ezanee Abdullah, 18, berkata, pelajar dimaklumkan oleh pensyarah masing-masing serta pihak pentadbiran kampus bahawa ada kemungkinan kampus itu akan ditutup. ''Kami diberitahu bahawa kampus ini ditutup selama seminggu dan dibenarkan balik dengan syarat perlu diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing. ''Saya berpendapat adalah wajar kolej ditutup kerana virus ini berbahaya dan jumlah pelajar di sini bukan sedikit," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm (23rd July 2009)

UiTM Seri Iskandar tutup seminggu
IPOH 22 Julai - Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini ditutup selama seminggu selepas 280 pelajarnya disyaki menghidap penyakit selesema babi atau influenza A, H1N1. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kampus berkenaan yang menempatkan seramai kira-kira 10,000 pelajar dan kakitangan wajar ditutup bagi mengelakkan virus berkenaan terus merebak.

''Pada mulanya, seramai 55 pelajar disyaki menghidap penyakit tersebut pada semalam tetapi kes itu telah meningkat dengan mendadak kepada 280 orang pada hari ini.

''Jadi kita tidak pilihan selain daripada menutup keseluruhan kampus tersebut dan semua yang terlibat dengan penyakit itu dikehendaki menjalani kuarantin di rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hang Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil sepuluh contoh daripada 280 pelajar terbabit dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kampus tersebut hanya akan dibuka semula pada 31 Julai selepas pihak Jabatan Kesihatan melakukan kerja-kerja pembersihan dan mencegah penyakit tersebut.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga sedang membuat siasatan lanjut kerana kes berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Kampus UiTM Lendu, Melaka dan Kampus UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, penduduk di sekitar UiTM Seri Iskandar dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak pergi ke kawasan yang sesak dengan orang ramai serta menjaga kebersihan diri.

''Kalau ada yang terkena demam, batuk dan sesak nafas yang kuat mereka mesti segera mendapatkan rawatan segera di hospital berhampiran," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar dan kakitangan universiti mula meninggalkan Kampus UiTM Seri Iskandar kira-kira pukul 3 petang. Pada masa sama, pihak Jabatan Kesihatan juga dilihat mengedarkan topeng muka kepada pelajar dan kakitangan universiti tersebut bagi membendung penularan selesema babi.



Komen:

UiTM Lendu, Melaka
UiTM Seri Iskandar, Perak
UiTM Permatang Pauh, Pinang
UiTM Dungun, Terengganu

UiTM Sungai Petani, Kedah (Dekat dengan Thailand) ?? (Apakah langkah2 pencegahan)??
UiTM Segamat, Johore (Dekat dengan Singapura) ?? (Apakah langkah2 pencegahan)??