Saturday, July 18, 2009

ISA di Mansuh


URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm (18th JULY 2009)

Abdullah mahu ISA dimansuh
Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua kiri) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi bergambar kenangan bersama para akademik sebelum Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia di Dewan Muadzam Shah UUM di Sintok, semalam. – BERNAMA
________________________________________

SINTOK 17 Julai - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan. "Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan. Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya. Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan. "Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori. "Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.

Komen: Mahukah Najib dengar kata-kata Abdullah (selepas Abdullah turun)?!