Thursday, August 27, 2009

Komen:
Orang dah nak sangat sebat, bagi je lah… Lagipun hukum Islam tak melarang.

URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm (27th August 2009)

Kartika bukan orang pertama dihukum sebat
KUANTAN 26 Ogos - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, merupakan pesalah kelima yang dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas kesalahan minum arak di khalayak umum sejak lima tahun lalu.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, daripada jumlah terbabit, dua daripada mereka adalah wanita termasuk Kartika Sari Dewi. Bagaimanapun, kata beliau, hukuman sebat ke atas kesemua pesalah terbabit masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini kerana menunggu proses rayuan.

''Selepas selesai proses undang-undang di Mahkamah Tinggi Syariah, mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pula.

''Oleh itu, sehingga kini tiada sesiapa yang disebat dan jika Kartika disebat, dia merupakan pesalah pertama yang menjalani hukuman tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz memberi alasan hukuman itu tidak dapat dijalankan kerana menghormati bulan Ramadan.

Kes tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Kartika Sari Dewi membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah sebelum hukuman itu dilaksanakan. Menurut Najib, hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama wanita.