Friday, November 20, 2009

Pelajar Melayu & India Pun Cemerlang UPSR !

URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm (20th November 2009)

Pelajar Melayu, India dapat 7A (UPSR)
MUHAMMAD Daniel Idrus (kanan) bersama S. Karthika Dewi merupakan dua murid dari sekolah aliran Cina yang memperoleh 7A dalam UPSR di Melaka.

MELAKA 19 Nov. - Dua murid Melayu dan India yang belajar di sekolah aliran Cina membuktikan walaupun belajar dalam persekitaran yang berbeza, mereka mampu meraih 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini. Muhammad Daniel Idrus dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang dan S. Karthika Dewi dari SJKC Notre Dame masing-masing memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Cina (Penulisan dan Pemahaman), Sains dan Peka (Penaksiran Kerja Amali Sains).

Ketika ditemui pada sidang akhbar Jabatan Pelajaran negeri di sini, Muhammad Daniel yang ditemani ibunya, Suhani Maarof, 35, berkata, kejayaannya itu adalah hasil sokongan ibu bapa dan komitmen para guru serta rakan sekelas yang tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya. Menurutnya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pembelajaran di SJKC Bachang dan tidak berasa terpinggir walaupun hanya dia seorang sahaja murid Melayu di dalam kelas.

''Para guru dan murid lain di SJKC Bachang tidak pernah melayan saya seperti orang asing, layanan mereka sama sahaja. Buktinya saya berjaya meraih keputusan cemerlang UPSR hari ini dan ia kejayaan mereka juga," katanya.

Muhammad Daniel yang berminat menguasai bahasa asing itu berkata, dia berhasrat meneruskan pelajarannya di sekolah aliran Cina kerana berasakan banyak pengetahuan yang boleh diperolehinya. Hasratnya itu dipersetujui oleh ibunya yang menyatakan kemungkinan akan menghantar Muhammad Daniel meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Melaka, Bandar Hilir.

Selain persamaan belajar di sekolah aliran Cina dan meraih keputusan cemerlang UPSR, Muhammad Daniel berkongsi cita-cita yang sama dengan Karthika Dewi iaitu mereka ingin menjadi seorang saintis apabila dewasa kelak.

Menurut Karthika Dewi, peluang mengikuti pembelajaran di sekolah aliran Cina menjadikan dirinya mahir menguasai bahasa Mandarin selain bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. ''Pada mulanya memang agak sukar kerana masih kurang memahami bahasa Mandarin, namun lama kelamaan berkat didikan para guru dan sokongan rakan-rakan sekelas, saya akhirnya berjaya menguasai bahasa ini," kata anak kedua dari empat beradik ini.

Katanya, kejayaan meraih 7A dalam UPSR hari ini hasil kerja kuat dan kesungguhan ibu bapanya dan para guru SJKC Notre Dame yang tidak berputus asa membimbingnya menjadi insan cemerlang.

Komen:
Tahniah lah kepada mereka berdua... Moral of the story 'Talk less (complain less) and more efforts'... InsyaAllah success!