Saturday, January 10, 2009

Demonstrasi di Malaysia

URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm (10th January 2009)
Pastikan resolusi dipatuhi
Oleh ARSHAD KHAN


KEJAM... Sebahagian penunjuk perasaan membawa poster dan patung mayat bayi Palestin sebagai simbolik keganasan Israel di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
________________________________________

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Malaysia mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan resolusi gencatan senjata di Genting Gaza dan pengunduran menyeluruh askar Israel seperti yang dicapai hari ini, dipatuhi sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau gembira kerana gesaan Malaysia dan beberapa negara lain agar diadakan sidang khas Majlis Keselamatan didengari tetapi mahukan hasil daripada persidangan itu juga dilaksanakan sepenuhnya.

"Memang bagus mereka telah bersetuju untuk mengadakan persidangan, boleh anda bayangkan selepas hampir dua minggu berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza, mereka (Majlis Keselamatan) tidak berbuat apa-apa.

''Memandangkan sekarang mereka telah memutuskan sesuatu, saya mahu melihat keputusan itu dilaksanakan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Sekretariat Tetap Yayasan Forum Ekonomi Islam di sini hari ini. Abdullah bagaimanapun meluahkan sedikit rasa kecewa dengan resolusi yang dihasilkan itu kerana ia tidak menyatakan penubuhan sebuah pasukan keselamatan di bawah penyeliaan PBB bagi memastikan resolusi itu dipatuhi sepenuhnya.

"Namun, saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal, harapan kita ialah resolusi itu dilaksanakan yang mana salah satu daripadanya ialah Israel perlu meninggalkan Gaza, mereka perlu berbuat demikian dalam jangka masa yang munasabah dan gencatan senjata dilaksanakan segera," katanya.

Beliau juga telah mengarahkan Wisma Putra agar berhubung dengan negara-negara rakan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) supaya bersama-sama memastikan resolusi yang dicapai dipantau secara berterusan pelaksanaannya.

Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pagi ini meluluskan resolusi 1860 yang menuntut diadakan gencatan senjata segera dan berpanjangan di Genting Gaza dan 'pengunduran seluruh' askar Israel dari wilayah Palestin.

Daripada 14 anggota majlis itu, 13 negara bersetuju manakala Amerika Syarikat (AS) menjadi negara tunggal yang mengambil pendirian berkecuali dalam hal itu.

Walaupun resolusi itu telah pun diluluskan, laporan agensi berita asing memperlihatkan Israel masih meneruskan serangan besar-besaran ke atas Genting Gaza hari ini tanpa mempedulikan resolusi berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, negara ini bersedia untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kewangan dan teknikal kepada rakyat Palestin terutama di Genting Gaza selepas resolusi itu berjaya dilaksanakan. Katanya, Malaysia selama ini memang membantu melalui Dana Kemanusiaan Palestin dan bersedia untuk melakukan lebih lagi melalui apa sahaja cara yang termampu.


Komen:

Biasanya bila berlaku pembunuhan askar Israel ke atas penduduk Palestin, dunia akan kutuk habis Rejim Yahudi atas kekejaman mereka, demonstrasi jalanan akan terus diadakan di merata dunia Islam dan bukan Islam, dan mereka menuntut supaya ‘pembunuhan dihentikan’ serta-merta, dan Israel mematuhi ‘Gencatan Senjata.’

Namun, Rejim Yahudi akan terus berdegil, kerana mereka tidak pernah mematuhi apa-apa perjanjian dan resolusi damai yang dimeterai mereka. Apatah lagi Resolusi yang tidak mereka meterai.

Dan kalau pun gencatan senjata diadakan, sudah pasti sudah terlambat, kerana beratus-ratus penduduk Palestin sudah pun ‘terkorban.’

* Kenapa tidak di minta supaya gencatan senjata diadakan, diikuti dengan ‘sekatan ekonomi’ ke atas Negara Yahudi itu, dan pemimpin mereka dihukum di ICOJ (International Court of Justice, United Nations), atas kesalahan ‘Jenayah Perang’ (War Crime).

Siapa yang berani berdegil dengan tuntutan PBB selain Rejim Yahudi?!

Apa boleh kita buat?

Kita boleh menuntut supaya gencatan senjata diadakan serta-merta, dan pemimpin Yahudi yang terlibat dengan jenayah perang supaya dihukum di ICOJ, dan Negara Israel diadakan sekatan ekonomi. Bukankah itu caranya Amerika, Britain, dan PBB buat atas Negara Iraq, Iran, Korea Utara, dan sebagainya… Kenapa Negara Israel dikecualikan pula?

No comments:

Post a Comment