Sources:
http://www.bharian.com.my/articles/Kerajaansediatimbangimbuhanuntukpensyarah_Muhyiddin/Article/
http://www.bharian.com.my/articles/Kerajaansediatimbangimbuhanuntukpensyarah_Muhyiddin/Article/
18 Mei 2012
KERAJAAN SEDIA TIMBANG BERI IMBUHAN KEPADA PENSYARAH - MUHYIDDIN
Bernama
17/5/2012
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedia menimbang untuk memberi imbuhan kepada pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan menyemak semula situasi dan masalah yang dihadapi oleh para pensyarah dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Saya akan semak apakah kes gaji dan gred jawatan pensyarah telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). (Jika ada) apa respons JPA, saya tidak tahu."Tapi kalau dianggap perkara ini penting dan perlu diberi perhatian, kita percaya kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam sesi soal jawab dengan peserta pada majlis Wacana Intelek dan Acara (Wira) anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia di sini, Khamis.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau menyedari keluhan ramai pensyarah bahawa mereka tidak menerima imbuhan seperti yang dinikmati para guru. "Ada yang kata lebih baik jadi guru biasa sebab skim tidak setara. Kalau betul dan ada asasnya, kita harap kementerian (Pengajian Tinggi) boleh bawa dan kerajaan akan beri pertimbangan," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan ucaptama yang menerangkan perjalanan kesemua program transformasi negara dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 serta pencapaian program-program tersebut sehingga kini. Menjawab soalan lain berhubung sistem demokrasi, Muhyiddin berkata kerajaan lebih suka untuk menjelaskan sesuatu isu atau perkara kepada rakyat secara profesional berbanding mengadakan debat dengan pembangkang.
"Kerajaan tidak bertindak atas dasar emosi tapi rasional untuk jelaskan. Ada yang kata tak cukup penjelasan, maka adalah tanggapan yang kerajaan tak laksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat. Tapi, itu kita boleh perbaiki," katanya. Beliau menekankan apa yang penting adalah hubungan dengan rakyat agar mereka dapat sama-sama berbincang tentang sesuatu perkara.
Menyifatkan sistem demokrasi negara sebagai "terbatas berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang negara", beliau berkata ia penting dalam memastikan Malaysia kekal aman. "Bukan kita tak sedia untuk berbahas tapi bila perbahasan dengan pembangkang ini mereka sudah tetapkan di fikiran... apa yang kita buat tak berfaedah. "Kita tak takut, tapi lebih baik kita buat secara rasional sebab sebahagian besar rakyat bersikap matang dan boleh menilai," katanya.
Pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan dua buah buku terbitan Wira iaitu Pemasaran Politik di Malaysia dan Malaysiaku.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment