Friday, February 4, 2011

Kerajaan Cetus Keganasan: White House

(4 Feb 2011)

Kerajaan cetus keganasan - White House

WASHINGTON 3 Feb. - White House semalam membangkitkan kemungkinan kerajaan Mesir mencetuskan keganasan yang sedang memuncak di Kaherah semalam apabila puak yang menyokong Presiden Hosni Mubarak melakukan pertempuran.

Jurucakap White House, Robert Gibbs juga mengulangi gesaan Presiden Barack Obama supaya peralihan kuasa yang teratur dimulakan 'sekarang'.

"Sudah tentulah jika keganasan itu dicetuskan oleh kerajaan, ia perlu dihentikan segera," kata Gibbs. Pentadbiran Obama turut menghubungi ketua tentera Mesir, untuk menekankan keperluan ketenteraman dipulihkan di Kaherah sambil memuji peranan utama yang boleh dimainkan oleh tentera dalam menyelesaikan krisis itu.

Gibbs tidak menggesa Mubarak meletakkan jawatan dengan segera tetapi katanya, peralihan kuasa mesti bermula serta-merta. Ketika ditanya sama ada White House boleh menerima Mubarak meneruskan perkhidmatannya sehingga September ini, Gibbs berkata, beliau enggan membincangkan butir perbualan Obama dengan Presiden Mesir itu.

Namun, Senator John McCain yang menemui Obama di White House berkata, 'Sudah tiba masanya untuk Mubarak berundur.'

"Situasi yang semakin buruk di Mesir mendorong saya membuat kesimpulan Presiden Mubarak perlu berundur dan melepaskan kuasa," kata McCain, anggota kanan Parti Republikan dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata di Senat, dalam satu kenyataan. - Reuters



.