Friday, September 11, 2009

Orang Islam yg Gagal Memahami Masalah Orang Islam?

Komen:
NGO Islam sepatutnya dibantu dalam usaha mereka untuk meringankan beban rakyat Palestin (orang Islam) di dalam bulan Ramadhan, ini pula berlaku sebaliknya, di manakah kesilapannya?
Bagi saya, perkara macam ini terjadi akibat 2 sebab:
1- Kegagalan untuk memahami ajaran agama Islam yang sejati, yang diajar Rasul kita.
2- Kelemahan sistem pentadbiran dan karenah birokrasi yang jumud (tidak maju ke hadapan).
Global Peace bantah penahanan Azlan
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Global Peace Malaysia hari ini menghantar nota bantahan ke pejabat Kedutaan Mesir di sini sebagai memprotes penahanan dan penderaan terhadap wakilnya, Azlan Muhammad Sharif selama tiga hari tiga malam di Lapangan Terbang Kaherah, pada 2 September lalu.

Semasa ditahan Azlan, Pengarah Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan ke Gaza itu sedang mengetuai misi menghantar bantuan kewangan sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia bagi meringankan bebanan rakyat Palestin pada bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Aidilfitri.

Pengerusi Global Peace Malaysia, Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, Azlan telah disiasat tanpa henti dan tidak diberi makanan serta minuman sepanjang dalam tahanan tersebut.

Katanya, Azlan dibebaskan pada 5 September lalu dan terus dihantar pulang ke Malaysia selepas campur tangan wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

''Apa yang paling mendukacitakan kita, ekoran penahanan tersebut bantuan kewangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin turut terbantut,'' katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan pejabat Kedutaan Mesir di sini..

Menurutnya, nota bantahan dua muka surat itu yang ditujukan kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak melalui Duta Mesir ke Malaysia, Hani Abdel Kader bagi meminta kerajaan Mesir memberi jaminan kejadian menahan dan mendera sukarelawan Malaysia yang diamanahkan melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza tidak berulang.

''Kami juga memprotes mengapa beliau dihalang semasa mahu menjalankan misi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tenat menderita.

''NGO dari negara-negara Islam sepatutnya dibantu menjalankan tugas mereka bukannya ditangkap seperti yang dilakukan polis Mesir,'' katanya.

Beliau berkata, nota bantahan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Misi Duta Mesir ke Malaysia, Tamer G. El-Mawaziny.

Menurutnya, Global Peace Malaysia telah diberi tempoh 15 minit untuk berbincang mengenai penyerahan nota bantahan tersebut.

''Wakil Kedutaan Mesir tersebut telah berjanji untuk menyerahkan nota bantahan tersebut secepat mungkin kepada kerajaan Mesir,'' kata beliau.

Sementara itu, turut memberi sokongan terhadap tindakan Global Peace Malaysia menghantar nota bantahan tersebut ialah wakil pemimpin daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pencerdasan Ummah (WADAH) dan Future Global Network.