Wednesday, September 30, 2009

Biro Khidmat Guaman Syarie


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090930085319/Article/index_html (Accessed on 30th September 2009)

Ramai tak tahu prosedur khidmat guaman percuma
KUALA LUMPUR: Tidak mengetahui prosedur mendapatkan bantuan guaman bagi individu tidak berkemampuan adalah antara punca kes membabitkan masalah syarie tertangguh hingga bertahun-tahun. Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pihaknya ada menawarkan khidmat guaman percuma menerusi Biro Khidmat Guaman Syarie (BKGS) yang dimulakan sejak April tahun 2008 lalu.

Namun, masih ramai pihak bermasalah terutama wanita yang gagal membuat tuntutan fasakh belum mengetahui mengenai kewujudan BKGS itu. “Untuk mendapatkan khidmat guaman percuma menerusi BKGS, seseorang itu perlu melalui prosedur dan syarat tertentu.

**Antara syaratnya pemohon mesti bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya tiga bulan.
**Pemohon juga perlu merujuk kes mereka kepada Baitulmal Wilayah Persekutuan terlebih dulu sebelum pihak Baitulmal menyaring kes itu untuk memastikan kelayakan bagi mendapatkan khidmat peguam syarie percuma yang akan ditanggung Baitulmal.
**Kemudian Baitulmal akan menyerahkan kes yang layak kepada kami (BKGS).

Setakat ini, 30 individu dirujuk Baitulmal mendapatkan khidmat guaman kami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kekecewaan seorang wanita berusia 47 tahun kerana kes tuntutan fasakh tidak dilayan Mahkamah Syariah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur yang antara sebab kegagalannya mengupah peguam. Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sapiah meluahkan kekecewaannya kerana mengalami penderitaan dan penderaan mental serta fizikal.



Komen:

Macam mana lah orang ramai tahu ‘cara-cara’ untuk mendapatkan khidmat peguam (BKGS - Biro Khidmat Guaman Syarie percuma bagi individual yang tidak berkemampuan). Mereka ini bukannya pelajar undang-undang, atau bekerja di syarikat guaman.

Biro Khidmat Guaman Syarie (BKGS) sepatutnya menydiakan kuaunter pertanyaan atau meja khidmat pelanggan untuk memudahkan orang ramai, terutamanya mereka yang bermasalah ini untuk bertanya dan seterusnya mendapatkan khidmat guaman percuma ini.

Jangan disebabkan ‘guaman percuma’ (untuk mereka yang tidak berkemampuan ini), layanan yang disediakan adalah kelas ketiga.

Sunday, September 27, 2009

MENYAMBUNG catatan perjalanan saya, suami dan anak perempuan ke Victoria, Australia, kunjungan kami seterusnya ke bandar di pesisiran laut yang cantik, Warrnambool dengan harapan untuk melihat ikan paus. Kami diberitahu, jika bernasib baik, kami boleh melihat pemandangan segerombolan ikan paus yang mencapai angka sehingga 150 ekor.

Kami menunggu di pelantar meninjau yang disediakan, namun terpaksa beralah tidak lama selepas itu kerana angin laut yang bertiup kencang seiring dengan hujan mencengkam sehingga ke tulang sum-sum. Warrnambool yang berdepan Lady Bay adalah bandar terbesar di Great Ocean Road yang menawarkan pelbagai perkhidmatan bandar moden dan dalam masa sama mengekalkan suasana desa.Keadaan pantai yang dilindungi, taman dan kebun bunga yang terjaga menjadi tarikan berbanding kebisingan hidup di kota. Kami ada di sini dua malam dan mengambil kesempatan ke Port Fairy, kira-kira sejam perjalanan dari Warrnambool. Port Fairy adalah bandar bersejarah paling utama di Victoria dengan 50 bangunan lama diisytiharkan Yayasan Kebangsaan Australia. Pekan ini bukan sekadar kaya dengan sejarah, malah turut menggabungkan muara sungai laluan nelayan ke laut yang cantik. Ia boleh dikatakan perkampungan nelayan dengan deretan bot nelayan berlabuh di depan rumah penduduk.
Bot nelayan berlabuh di air bersih dan jernih di depan rumah dua tingkat yang selesa dan segar dengan taman di laman rumah. Begitulah rumah nelayan Australia. Kami berbual dengan seorang nelayan tempatan yang memberitahu dia keluar menangkap ikan jam 6 pagi dan pulang ke pangkalan di sini jam 5 petang. Itulah hakikatnya, walau apa pun pekerjaan mereka di sini, waktu bekerja tetap habis jam 5 atau 6 petang kecuali perkhidmatan penting dan utama. Portland menjadi tempat lawatan kami berikutnya. Bandar ini terletak di barat daya Victoria dan ia penempatan pertama orang dari Eropah pada 1834. Saya melihat Portland mengekalkan banyak bangunan bersejarah, termasuk rumah penduduk. Dari taman di bandar ini saya melihat kapal besar seluruh dunia berlabuh untuk memunggah masuk hasil pengeluaran penduduk tempatan, manakala kapal ikan tempatan pula menurunkan hasil tangkapan. Seterusnya kami ke Ballarat yang melalui ladang buah-buahan di kiri dan kanan jalan. Kami singgah di ladang strawberi yang terletak berdekatan jalan besar. Papan tandanya sungguh menarik, untuk sekilo strawberi berharga $10 tetapi harganya $7 jika kutip sendiri strawberi. Sudah pasti kami mengambil pilihan kedua. Sambil kutip, sambil makan.Penduduk Ballarat dulunya melakukan aktiviti melombong emas dan sehingga hari ini peninggalan aktiviti perlombongan dijaga dalam muzium di Sovereign Hill.Bertentangan Sovereign Hill ialah Muzium Emas yang menghimpunkan pelbagai rekaan koleksi emas. Aktiviti perlombongan emas juga dipamerkan di pusat pelancongan Eureka. Kesan kemewahan itu dapat dilihat hari ini dengan rumah besar nan cantik dengan kemudahan jalan raya yang luas di pusat bandar. Tasik Wendouree di Ballarat pula pernah menjadi tuan rumah untuk acara kayak pada Sukan Olimpik 1956 tetapi kini ia kering dan dipenuhi lalang. Dalam perjalanan kembali ke Melbourne, kami singgah di Bendigo dan Clayton dan menghabiskan masa tiga hari di situ. Di Clayton, kami ke Mornington yang mempunyai taman dengan pelbagai pokok bunga ros dan melihat pameran seni bina. Kami turut ke pasar basah Dandeenong dan melihat buah-buahan seperti oren dan aneka jenis epal. Yang membuat saya terkedu ialah harga sekilo cili padi ialah $50. Mahalnya!

Friday, September 11, 2009

Orang Islam yg Gagal Memahami Masalah Orang Islam?

Komen:
NGO Islam sepatutnya dibantu dalam usaha mereka untuk meringankan beban rakyat Palestin (orang Islam) di dalam bulan Ramadhan, ini pula berlaku sebaliknya, di manakah kesilapannya?
Bagi saya, perkara macam ini terjadi akibat 2 sebab:
1- Kegagalan untuk memahami ajaran agama Islam yang sejati, yang diajar Rasul kita.
2- Kelemahan sistem pentadbiran dan karenah birokrasi yang jumud (tidak maju ke hadapan).
Global Peace bantah penahanan Azlan
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Global Peace Malaysia hari ini menghantar nota bantahan ke pejabat Kedutaan Mesir di sini sebagai memprotes penahanan dan penderaan terhadap wakilnya, Azlan Muhammad Sharif selama tiga hari tiga malam di Lapangan Terbang Kaherah, pada 2 September lalu.

Semasa ditahan Azlan, Pengarah Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan ke Gaza itu sedang mengetuai misi menghantar bantuan kewangan sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia bagi meringankan bebanan rakyat Palestin pada bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Aidilfitri.

Pengerusi Global Peace Malaysia, Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, Azlan telah disiasat tanpa henti dan tidak diberi makanan serta minuman sepanjang dalam tahanan tersebut.

Katanya, Azlan dibebaskan pada 5 September lalu dan terus dihantar pulang ke Malaysia selepas campur tangan wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

''Apa yang paling mendukacitakan kita, ekoran penahanan tersebut bantuan kewangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin turut terbantut,'' katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan pejabat Kedutaan Mesir di sini..

Menurutnya, nota bantahan dua muka surat itu yang ditujukan kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak melalui Duta Mesir ke Malaysia, Hani Abdel Kader bagi meminta kerajaan Mesir memberi jaminan kejadian menahan dan mendera sukarelawan Malaysia yang diamanahkan melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza tidak berulang.

''Kami juga memprotes mengapa beliau dihalang semasa mahu menjalankan misi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tenat menderita.

''NGO dari negara-negara Islam sepatutnya dibantu menjalankan tugas mereka bukannya ditangkap seperti yang dilakukan polis Mesir,'' katanya.

Beliau berkata, nota bantahan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Misi Duta Mesir ke Malaysia, Tamer G. El-Mawaziny.

Menurutnya, Global Peace Malaysia telah diberi tempoh 15 minit untuk berbincang mengenai penyerahan nota bantahan tersebut.

''Wakil Kedutaan Mesir tersebut telah berjanji untuk menyerahkan nota bantahan tersebut secepat mungkin kepada kerajaan Mesir,'' kata beliau.

Sementara itu, turut memberi sokongan terhadap tindakan Global Peace Malaysia menghantar nota bantahan tersebut ialah wakil pemimpin daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pencerdasan Ummah (WADAH) dan Future Global Network.