Monday, April 27, 2009

URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090427050613/Article/index_html (27th April 2009)

Doktor curi tulang

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, semalam ‘menangkap’ dua doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan. Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ketika beliau ke hospital itu untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu pemandunya (Saravanan).“Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.“Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagipun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan,” kata Saravanan, yang jelas kelihatan kesal.
Saravanan berkata, beliau menegur doktor itu kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian. “Selepas itu, pesakit yang menunggu segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan,” katanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya di ibu kota kelmarin berkata, beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di Kuala Lumpur meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.Saravanan berkata, sungguhpun beliau `menangkap’ doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.“Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.“Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam,” katanya. - Bernama

Comment:
Bukannya hendak tuduh sesiapa, tetapi perkara mcm ini memang sudah lama berlaku, di hospital kerajaan, unit kecemasan ataupun unit pesakit luar. Jururawat dan doktor buat kerja ala kadar (mediocre work), masa saya sakit dulu pun, time pergi unit kecemasan, doktor duduk jauh2, tanya saya sakit apa, tak sentuh pun badan, tak pakai skop pun, lepas itu doktor berpura-pura suluh lampu, kat muka saya (kononnya buat pemeriksaan) dari jarak jauh.
Apa lagi, saya kata saya sakit demam, pening, selesema, batuk, semua lah... supaya saya dapat kumpul ubat banyak2, tak payah lah pergi jumpa doktor dah selepas ini... Tak rela tengok muka doktor 'berpura-pura' buat pemeriksaan kesihatan.