Monday, June 7, 2010

Nasib Penulis Kita: Malaysia


URLhttp://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Nasibpenuliskita/Article (7th June 2010)

Minda: Nasib Penulis Kita
2010/06/07

MUNGKIN ada asasnya mengapa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mempersoalkan mengapa 5,150 penulis buku di negara ini tidak dapat hidup mewah seperti penulis di luar negara daripada hasil penulisan kreatif mereka sedangkan nilai jualan buku tempatan mencecah RM2.1 bilion pada 2009.

Jumlah yang dicatatkan ini sangat mengagumkan, bukti kejayaan dan menjadi petanda yang baik kepada industri buku di negara kita untuk melangkah lebih jauh. Namun, sebaliknya nasib dan masa depan penulis buku di negara ini masih tidak menentu, terumbang-ambing ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ dan memerlukan kepada pembelaan sewajarnya. Tidak seperti penulis luar negara, di negara kita tidak ramai penulis yang menjadi jutawan dengan menulis sepanjang hidupnya walaupun tidak dinafikan ada beberapa kerat yang berjaya. Isu royalti menjadi perkara asas dan pokok kepada polemik ini berbanding royalti yang tinggi diperoleh penulis luar negara yang mampu menjadikan mereka kaya-raya.

Dalam pada itu, terdapat hampir 8,184 syarikat penerbitan tempatan dan luar negara yang bertapak di Malaysia boleh mencatatkan keuntungan luar biasa mencecah jutaan ringgit setiap tahun melalui penjualan buku dan mereka juga berjaya membina empayar perniagaan masing-masing di dalam industri dan pasaran buku dalam negara.

(Komen: Yang mencatat keuntungan 'luar biasa' dan untung terbesar adalah tauke syarikat penerbitan, sebaliknya, penulis tetap miskin, yang peliknya, 'barang' (buku) kepunyaan penulis, tetapi penulis hanya dapat 7-10% royalti hasil dari jualan buku tersebut??? Yang baki 90%, syarikat penerbit rampas... Sepatutnya, bagi lah penulis sekurangnya 40%, maklumlah 'barang' harta intelek itu kepunyaan penulis... Lebih teruk lagi, ada syarikat penerbitan mensyaratkan supaya penulis 'serah terus' harta intelek buku tersebut kpd syarikat penerbitan sebelum buku tersebut dapat diterbitkan... syarikat mcm ini, dan syarat 'luar biasa' mcm ini memang saya awal2 lagi tak setuju... saya awal2 lagi minta syarikat mcm itu supaya tidak menerbitkan buku saya).

Tentu ada sesuatu yang tidak betul di sini yang memerlukan kepada peranan dan tanggungjawab kementerian, penerbit buku dan penulis buku untuk mencari jalan bagaimana masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dalam situasi menang-menang. Berdasarkan kepada rekod nilai hasil jualan buku 2009 iaitu RM2.1 bilion adalah pencapaian membanggakan dalam satu industri besar. Hasil jualan buku meningkat setiap tahun. Berdasarkan kepada perbandingan pada 2008 bernilai RM1.65 bilion iaitu meningkat 27 peratus berbanding RM1.3 bilion pada 2007. Jumlah penerbitan buku juga meningkat pada 2009, sebanyak 16,767 judul meningkat empat peratus berbanding 16,044 pada 2008 dan 11,023 pada 2007. Statistik ini sangat menarik untuk membuktikan bahawa industri buku tempatan mempunyai potensi besar kerana buku adalah harta intelek dan harta nasional yang menjadi modal ekonomi yang boleh mencipta kekayaan.

Ini juga membuktikan industri buku di negara kita telah berkembang pesat dan sihat tetapi yang menjadi masalahnya ialah tidak ada satu pun penulis buku tempatan yang dapat mencapai status penulis jutawan atau mampu hidup mewah dengan hasil penulisan mereka. Ini kerana masalah relatif iaitu tuntutan royalti yang terlalu rendah sekitar tujuh hingga 10 peratus bagi setiap buku yang terjual, malahan pembayarannya juga sering kali lewat dan tidak setanding dengan kualiti penulisan serta pengorbanan penulis. Ini tidak sepatutnya berlaku dan jalan penyelesaian perlu dicari segera bagi merungkai permasalahan ini. Situasi ini jika tidak ditangani sebaik mungkin boleh menyebabkan penulis generasi muda dan penulis separuh masa tidak berminat untuk berkecimpung secara serius di dalam industri ini kerana tidak menguntungkan, tidak ekonomik dan kerjaya yang tidak stabil.

Komen: Jangan cakap hidup mewah, hidup sederhana (untung sederhana) hasil drp royalti buku adalah sangat menyedihkan.

Oleh yang demikian, secara umum industri buku di negara kita berjalan lancar, positif, kalis gawat biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan persaingan hebat, namun sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Cuma masalahnya masih terdapat ketidakseimbangan yang ketara dalam pembahagian keuntungan di antara penulis dan penerbit buku sejak sekian lama memandangkan terdapat pihak yang mengaut keuntungan lebih berbanding penulis buku itu sendiri. Ketidakadilan yang berlaku serta kewujudan birokrasi dalam industri buku tempatan memerlukan penyelesaian menyeluruh agar kedua-dua pihak mendapat faedah yang sama dalam usaha membangun dan memacu industri buku negara di landasan betul setanding luar negara. Penulis ialah seorang peguam.