URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Mahkamah/20090527065230/Article/index_html (27th May 2009)
Peguam beritahu suami Zakiah Anas muflis
SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu bahawa suami pengacara rancangan 999 di TV3, Zakiah Anas diisytiharkan muflis, lima tahun lalu.
Peguam syarie Rubiah Jaafar yang mewakili Zakiah, 43, (plaintif) berkata suami pengacara itu, Mohamed Yusoff Mohamed Taib, 46, (defendan) diisytiharkan bankrap pada Mac 2003 selepas membuat semakan melalui Jabatan Insolvensi pada 15 Mei lalu.
“Akibat defendan seorang bankrap, dia perlu mendapat kebenaran pegawai pemegang harta sebelum membuat sesuatu seperti menyaman atau disaman di mahkamah.
“Ini berdasarkan peruntukan Seksyen 38 Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) mengatakan jika seseorang bankrap hendaklah tidak kompeten untuk menyenggara apa-apa tindakan kecuali mendapat kebenaran ketua pengarah insolvensi,” katanya. Sementara itu, peguam syarie Fakrul Azman Abu Hasan yang mewakili Mohamed Yusoff memberitahu mahkamah, beliau terkejut sebaik mengetahui anak guamnya diisytiharkan bankrap.
“Saya perlu mendapat kepastian berhubung isu ini daripada anak guam sama ada dakwaan itu betul atau tidak.
“Selain itu, saya perlu merujuk kepada defendan jika dia ada membuat apa-apa tindakan berhubung isu berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Kamarulzaman Ali memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan berhubung isu dibangkitkan sama ada seseorang muflis boleh membela diri di mahkamah dalam kes perceraian. Kamarulzaman turut menetapkan 9 Julai depan untuk penghujahan itu.