Saturday, October 24, 2009


Bayaran khas RM500 untuk Gred 41-54, pesara
KUALA LUMPUR: Penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan akan menerima bayaran khas RM500 pada Disember ini.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan itu kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember.

Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM430 juta.

Terdapat kira-kira 1.2 juta kakitangan awam pada masa ini, bermakna sebanyak 340,000 lagi penjawat awam dalam Gred 41 hingga Gred 54 akan menikmati faedah itu sekarang.

"Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara dan diharapkan mereka akan menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Najib berkata, kerajaan menghargai komitmen dan kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat.

"Bagi mengalakkan pengunaan komputer, penjawat awam kini boleh membuat pinjaman kerajaan bagi maksimum RM5,000, sekali dalam setiap tiga tahun bermula tahun depan, berbanding sekali setiap lima tahun sekarang," katanya. - Bernama



Monday, October 12, 2009

Majistret Muda dan Rasuah


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Mutakhir/20091012180730/Article (Accessed on 12th Oct 2009)

Majistret ditahan dipercayai terbabit rasuah

KOTA BAHARU: Seorang majistret di Kelantan hari ini ditahan reman selama dua hari berhubung dakwaan terlibat rasuah. Majistret Azrul Abdullah membenarkan reman itu bagi membolehkan majistret berkenaan membantu siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Azrul membenarkan keputusan reman dua hari itu setelah Timbalan Pendakawa Raya Mohd Asnawi Abu Hanifah daripada SPRM memohon tempoh tahanan reman selama lima hari. Majistret yang berusia 27 tahun itu disiasat kerana dipercayai terbabit dalam rasuah berhubung satu kes dadah. Majistret itu diwakili peguam Datuk Shukri Mohamad. -Bernama

Komen:

Itulah, Majistret sekarang muda-muda saja, umur 27 tahun boleh jadi majistret, mau pakai kereta besar, rumah besar, barang-barang mewah, jadi rasuah lah jawabnya.

Sepatutnya, kalau nak jadi Majistret, kena ada had umur (i.e. 30 tahun keatas), berperwatakan baik, berakhlak, adil dan beramanah - bukannya hanya bersandarkan kepada lulusan LLB saja.


Wednesday, September 30, 2009

Biro Khidmat Guaman Syarie


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090930085319/Article/index_html (Accessed on 30th September 2009)

Ramai tak tahu prosedur khidmat guaman percuma
KUALA LUMPUR: Tidak mengetahui prosedur mendapatkan bantuan guaman bagi individu tidak berkemampuan adalah antara punca kes membabitkan masalah syarie tertangguh hingga bertahun-tahun. Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pihaknya ada menawarkan khidmat guaman percuma menerusi Biro Khidmat Guaman Syarie (BKGS) yang dimulakan sejak April tahun 2008 lalu.

Namun, masih ramai pihak bermasalah terutama wanita yang gagal membuat tuntutan fasakh belum mengetahui mengenai kewujudan BKGS itu. “Untuk mendapatkan khidmat guaman percuma menerusi BKGS, seseorang itu perlu melalui prosedur dan syarat tertentu.

**Antara syaratnya pemohon mesti bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya tiga bulan.
**Pemohon juga perlu merujuk kes mereka kepada Baitulmal Wilayah Persekutuan terlebih dulu sebelum pihak Baitulmal menyaring kes itu untuk memastikan kelayakan bagi mendapatkan khidmat peguam syarie percuma yang akan ditanggung Baitulmal.
**Kemudian Baitulmal akan menyerahkan kes yang layak kepada kami (BKGS).

Setakat ini, 30 individu dirujuk Baitulmal mendapatkan khidmat guaman kami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kekecewaan seorang wanita berusia 47 tahun kerana kes tuntutan fasakh tidak dilayan Mahkamah Syariah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur yang antara sebab kegagalannya mengupah peguam. Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sapiah meluahkan kekecewaannya kerana mengalami penderitaan dan penderaan mental serta fizikal.



Komen:

Macam mana lah orang ramai tahu ‘cara-cara’ untuk mendapatkan khidmat peguam (BKGS - Biro Khidmat Guaman Syarie percuma bagi individual yang tidak berkemampuan). Mereka ini bukannya pelajar undang-undang, atau bekerja di syarikat guaman.

Biro Khidmat Guaman Syarie (BKGS) sepatutnya menydiakan kuaunter pertanyaan atau meja khidmat pelanggan untuk memudahkan orang ramai, terutamanya mereka yang bermasalah ini untuk bertanya dan seterusnya mendapatkan khidmat guaman percuma ini.

Jangan disebabkan ‘guaman percuma’ (untuk mereka yang tidak berkemampuan ini), layanan yang disediakan adalah kelas ketiga.

Sunday, September 27, 2009

MENYAMBUNG catatan perjalanan saya, suami dan anak perempuan ke Victoria, Australia, kunjungan kami seterusnya ke bandar di pesisiran laut yang cantik, Warrnambool dengan harapan untuk melihat ikan paus. Kami diberitahu, jika bernasib baik, kami boleh melihat pemandangan segerombolan ikan paus yang mencapai angka sehingga 150 ekor.

Kami menunggu di pelantar meninjau yang disediakan, namun terpaksa beralah tidak lama selepas itu kerana angin laut yang bertiup kencang seiring dengan hujan mencengkam sehingga ke tulang sum-sum. Warrnambool yang berdepan Lady Bay adalah bandar terbesar di Great Ocean Road yang menawarkan pelbagai perkhidmatan bandar moden dan dalam masa sama mengekalkan suasana desa.Keadaan pantai yang dilindungi, taman dan kebun bunga yang terjaga menjadi tarikan berbanding kebisingan hidup di kota. Kami ada di sini dua malam dan mengambil kesempatan ke Port Fairy, kira-kira sejam perjalanan dari Warrnambool. Port Fairy adalah bandar bersejarah paling utama di Victoria dengan 50 bangunan lama diisytiharkan Yayasan Kebangsaan Australia. Pekan ini bukan sekadar kaya dengan sejarah, malah turut menggabungkan muara sungai laluan nelayan ke laut yang cantik. Ia boleh dikatakan perkampungan nelayan dengan deretan bot nelayan berlabuh di depan rumah penduduk.
Bot nelayan berlabuh di air bersih dan jernih di depan rumah dua tingkat yang selesa dan segar dengan taman di laman rumah. Begitulah rumah nelayan Australia. Kami berbual dengan seorang nelayan tempatan yang memberitahu dia keluar menangkap ikan jam 6 pagi dan pulang ke pangkalan di sini jam 5 petang. Itulah hakikatnya, walau apa pun pekerjaan mereka di sini, waktu bekerja tetap habis jam 5 atau 6 petang kecuali perkhidmatan penting dan utama. Portland menjadi tempat lawatan kami berikutnya. Bandar ini terletak di barat daya Victoria dan ia penempatan pertama orang dari Eropah pada 1834. Saya melihat Portland mengekalkan banyak bangunan bersejarah, termasuk rumah penduduk. Dari taman di bandar ini saya melihat kapal besar seluruh dunia berlabuh untuk memunggah masuk hasil pengeluaran penduduk tempatan, manakala kapal ikan tempatan pula menurunkan hasil tangkapan. Seterusnya kami ke Ballarat yang melalui ladang buah-buahan di kiri dan kanan jalan. Kami singgah di ladang strawberi yang terletak berdekatan jalan besar. Papan tandanya sungguh menarik, untuk sekilo strawberi berharga $10 tetapi harganya $7 jika kutip sendiri strawberi. Sudah pasti kami mengambil pilihan kedua. Sambil kutip, sambil makan.Penduduk Ballarat dulunya melakukan aktiviti melombong emas dan sehingga hari ini peninggalan aktiviti perlombongan dijaga dalam muzium di Sovereign Hill.Bertentangan Sovereign Hill ialah Muzium Emas yang menghimpunkan pelbagai rekaan koleksi emas. Aktiviti perlombongan emas juga dipamerkan di pusat pelancongan Eureka. Kesan kemewahan itu dapat dilihat hari ini dengan rumah besar nan cantik dengan kemudahan jalan raya yang luas di pusat bandar. Tasik Wendouree di Ballarat pula pernah menjadi tuan rumah untuk acara kayak pada Sukan Olimpik 1956 tetapi kini ia kering dan dipenuhi lalang. Dalam perjalanan kembali ke Melbourne, kami singgah di Bendigo dan Clayton dan menghabiskan masa tiga hari di situ. Di Clayton, kami ke Mornington yang mempunyai taman dengan pelbagai pokok bunga ros dan melihat pameran seni bina. Kami turut ke pasar basah Dandeenong dan melihat buah-buahan seperti oren dan aneka jenis epal. Yang membuat saya terkedu ialah harga sekilo cili padi ialah $50. Mahalnya!

Friday, September 11, 2009

Orang Islam yg Gagal Memahami Masalah Orang Islam?

Komen:
NGO Islam sepatutnya dibantu dalam usaha mereka untuk meringankan beban rakyat Palestin (orang Islam) di dalam bulan Ramadhan, ini pula berlaku sebaliknya, di manakah kesilapannya?
Bagi saya, perkara macam ini terjadi akibat 2 sebab:
1- Kegagalan untuk memahami ajaran agama Islam yang sejati, yang diajar Rasul kita.
2- Kelemahan sistem pentadbiran dan karenah birokrasi yang jumud (tidak maju ke hadapan).
Global Peace bantah penahanan Azlan
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Global Peace Malaysia hari ini menghantar nota bantahan ke pejabat Kedutaan Mesir di sini sebagai memprotes penahanan dan penderaan terhadap wakilnya, Azlan Muhammad Sharif selama tiga hari tiga malam di Lapangan Terbang Kaherah, pada 2 September lalu.

Semasa ditahan Azlan, Pengarah Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan ke Gaza itu sedang mengetuai misi menghantar bantuan kewangan sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia bagi meringankan bebanan rakyat Palestin pada bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Aidilfitri.

Pengerusi Global Peace Malaysia, Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, Azlan telah disiasat tanpa henti dan tidak diberi makanan serta minuman sepanjang dalam tahanan tersebut.

Katanya, Azlan dibebaskan pada 5 September lalu dan terus dihantar pulang ke Malaysia selepas campur tangan wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

''Apa yang paling mendukacitakan kita, ekoran penahanan tersebut bantuan kewangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin turut terbantut,'' katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan pejabat Kedutaan Mesir di sini..

Menurutnya, nota bantahan dua muka surat itu yang ditujukan kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak melalui Duta Mesir ke Malaysia, Hani Abdel Kader bagi meminta kerajaan Mesir memberi jaminan kejadian menahan dan mendera sukarelawan Malaysia yang diamanahkan melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza tidak berulang.

''Kami juga memprotes mengapa beliau dihalang semasa mahu menjalankan misi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tenat menderita.

''NGO dari negara-negara Islam sepatutnya dibantu menjalankan tugas mereka bukannya ditangkap seperti yang dilakukan polis Mesir,'' katanya.

Beliau berkata, nota bantahan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Misi Duta Mesir ke Malaysia, Tamer G. El-Mawaziny.

Menurutnya, Global Peace Malaysia telah diberi tempoh 15 minit untuk berbincang mengenai penyerahan nota bantahan tersebut.

''Wakil Kedutaan Mesir tersebut telah berjanji untuk menyerahkan nota bantahan tersebut secepat mungkin kepada kerajaan Mesir,'' kata beliau.

Sementara itu, turut memberi sokongan terhadap tindakan Global Peace Malaysia menghantar nota bantahan tersebut ialah wakil pemimpin daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pencerdasan Ummah (WADAH) dan Future Global Network.

Thursday, August 27, 2009

Komen:
Orang dah nak sangat sebat, bagi je lah… Lagipun hukum Islam tak melarang.

URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm (27th August 2009)

Kartika bukan orang pertama dihukum sebat
KUANTAN 26 Ogos - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, merupakan pesalah kelima yang dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas kesalahan minum arak di khalayak umum sejak lima tahun lalu.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, daripada jumlah terbabit, dua daripada mereka adalah wanita termasuk Kartika Sari Dewi. Bagaimanapun, kata beliau, hukuman sebat ke atas kesemua pesalah terbabit masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini kerana menunggu proses rayuan.

''Selepas selesai proses undang-undang di Mahkamah Tinggi Syariah, mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pula.

''Oleh itu, sehingga kini tiada sesiapa yang disebat dan jika Kartika disebat, dia merupakan pesalah pertama yang menjalani hukuman tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz memberi alasan hukuman itu tidak dapat dijalankan kerana menghormati bulan Ramadan.

Kes tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Kartika Sari Dewi membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah sebelum hukuman itu dilaksanakan. Menurut Najib, hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama wanita.

Monday, July 27, 2009

Lori Maut...


Komen:

Sudah tiba masanya hukuman yang lebih berat dikenakan untuk pesalah kenderaan besar/berat, seperti, treler, lori, dan sebagainya. Selain itu, syarat untuk kelulusan lesen kenderaan berat juga patut diteliti dan diperketatkan.

Pemeriksaan kesihatan yang lebih rapi untuk memastikan pemandu lori bebas daripada penyalahgunaan dadah. Selain, mereka perlu menghadiri kursus ‘Pemandu berhemah’ juga sangat digalakkan.

Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia perlu lebih proaktif dalam hal ini.

URLhttp://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090727062747/Article (27th July 2009)
Lori terbang
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

MARAN: “Berderau darah saya melihat mayat bayi dalam longkang, tiga mayat lagi bergelimpangan, manakala satu lagi tersepit dalam kereta.

“Saya menitiskan air mata kerana suasana ketika itu begitu dahsyat dengan keadaan mayat cukup mengerikan terutama mayat bayi itu yang pecah kepala hingga menampakkan isi,” kata Azmi Mohamad, 42.

Dia antara saksi awal kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dengan Perodua Kenari di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhampiran Kompleks Rakan Muda Maran di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lima sekeluarga terbabit maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena ‘terbang’ sebelum diseret kira-kira 80 meter dan melanggar tebing bukit.


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090726085212/Article/index_html (26th July 2009)
Umur panjang
Oleh MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Pantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib seorang pelajar perempuan yang masih panjang umur walaupun dilanggar dan terseret di bawah sebuah treler sejauh enam meter, mengakibatkan tulang di pinggang patah selain mengalami pendarahan dalaman di kepala dalam kemalangan di Jalan Kempas Lama, Seelong-Senai di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas, Nur Farina Azhar, 13, yang tersangkut di bawah treler berukuran 14 meter selamat dikeluarkan dalam tempoh 10 minit oleh sekumpulan penduduk Kampung Maju Jaya sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kemalangan di depan rumah pelajar berkenaan turut disaksikan ibunya, Haliza Hashim, 37, selain seorang adik bongsunya serta beberapa rakan mangsa yang ada di dalam bas sekolah. Haliza berkata, kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata apabila anak ketiga daripada lima beradik itu ingin melintas jalan untuk menaiki bas sekolah.

“Kejadian itu seolah-olah berlaku dalam mimpi kerana sebaik Farina bersalam dan meminta kebenaran untuk ke sekolah, tiba-tiba treler berkenaan yang dipandu laju terus melanggarnya.

“Saya yang berlari ke arahnya terkejut apabila mendapati dia tersangkut dan ada di bawah kenderaan berat itu dengan kesan darah di beberapa bahagian anggota badan.

“Saya hampir putus asa pada awalnya melihat keadaan Farina berikutan dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Tambahan pula darah yang keluar dari telinga dan mulut tidak berhenti selama beberapa jam,” katanya.

Haliza berkata, yang mengecewakan, pemandu treler berkenaan seolah-olah lepas tangan dan enggan bertanggungjawab di atas kejadian itu. Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an masih tidak berjumpa keluarganya biarpun menyedari keadaan anaknya belum stabil dan dirawat di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) di tingkat empat hospital terbabit.

“Lelaki berkenaan sepatutnya memperlahankan kenderaan ketika menggunakan laluan berkenaan memandangkan ia kawasan perkampungan dan biasanya menjadi tempat pelajar sekolah menunggu bas,” katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm (26th July 2009)

LIMA MAUT DIREMPUH LORI DAN TRELER
Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my


KERETA Proton Wira Aeroback remuk teruk setelah dirempuh oleh lori treler di persimpangan lampu isyarat di Pekan Kelapa Sawit, Kulaijaya, semalam. Gambar kecil, dua daripada mangsa yang terbunuh, Zakaria Marjone, 40, dan isterinya, Hawa Kassim, 40.
________________________________________

KULAIJAYA 25 Julai – Lima termasuk empat beranak maut setelah kereta yang mereka naiki dirempuh dari belakang oleh sebuah treler yang dipercayai dipandu laju ketika berhenti di lampu isyarat di Kilometer 42, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Pekan Kelapa Sawit di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 2 petang itu mengakibatkan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang mereka naiki terseret ke hadapan lalu tersepit di belakang sebuah lori membawa muatan pasir.

Mangsa yang terbunuh ialah Zakaria Marjone, 40; isterinya, Hawa Kassim, 40; dua anak pasangan itu, Nor Fatin Nadia, 13; dan Mohd. Amirul Fahmi, 10; serta anak jiran mereka, Awaludin, setahun. Dua lagi anak pasangan berkenaan, Mohd. Aidil Hakim, 16, dan Mohd. Faris, 8, cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat. Katanya, kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat tetapi dirempuh oleh sebuah treler yang gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju.

“Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa remuk setelah terseret dan tersepit di belakang sebuah lori pasir di hadapannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Zulkefly berkata, pemandu dan dua kanak-kanak mati di tempat kejadian, manakala isterinya dan seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia sebaik sampai di Hospital Kulai, di sini.

Menurutnya, dua lagi anak pasangan itu yang parah masih dirawat di hospital sama. Pemandu treler terbabit ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.







Friday, July 24, 2009

H1N1 UiTM

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm (24th July 2009)

UiTM Dungun pula ditutup
DUNGUN 23 Julai - Selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Seri Iskandar dan Permatang Pauh ditutup berikutan pelajarnya disyaki menghidap selesema babi atau Influenza A H1N1, kini kampus UiTM Dungun turut menerima nasib serupa.

Kampus UiTM Dungun itu diarah tutup selama seminggu bermula pukul 10 pagi ini sejurus pengumuman mengenainya dibuat oleh pihak pentadbiran kampus. Sejurus itu, sejumlah pelajar mula meninggalkan kolej masing-masing dan akan akan diteruskan secara berperingkat-peringkat pada malam ini dan esok.

Seorang pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Ezzaty Abdullah, 19, ketika ditemui berkata, dia sudah menjangka kampus itu akan ditutup apabila ramai pelajar mengalami demam panas selepas pulang daripada bercuti pada 20 Julai lalu.

"Saya dah mula syak, mungkin kampus kami akan turut ditutup kerana ramai pelajar yang pulang dari bercuti selepas cuti umum 20 Julai lalu kena demam teruk," ujarnya yang berasal dari Bentong, Pahang.

Rakannya, Wan Mohd. Farhan Omar, 20, juga memberitahu, dia mula tidak sedap hati apabila menyedari ramai pelajar mengalami demam panas kira-kira pukul 12 tengah malam tadi dan menjangka kampus itu akan ditutup.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm (23rd July 2009)

UiTM Permatang Pauh ditutup
Oleh ABDUL MUIN SAPIDINmuin.sapidin@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 22 Julai - Para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini mula meninggalkan kolej masing-masing selepas kampus itu diarah tutup ekoran 10 pelajarnya disahkan positif virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Tinjauan Utusan Malaysia di kampus tersebut hari ini mendapati, banyak kenderaan dilihat keluar masuk membawa pelajar sejak pukul 11 pagi dengan kawalan ketat pihak pengawal keselamatan.

Difahamkan, 200 pelajar lagi yang mempunyai simptom H1N1 ditempatkan di beberapa blok hostel iaitu Kolej Baiduri, Zamrud dan Mutiara sehingga mereka disahkan sembuh sepenuhnya.
Pelajar kursus Kejuruteraan Awam, Edinur Ali Muhammad, 19, yang ditemui memberitahu, dia turut dikuarantin selama dua hari mulai Sabtu lalu tetapi dibenarkan keluar selepas didapati tidak mengalami simptom virus tersebut.

''Pihak pengurusan universiti membuat pengumuman kira-kira pukul 11 pagi ini dan saya dan rakan-rakan terus bergegas keluar," katanya yang akan pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan.

Kampus tersebut diarah ditutup selama tujuh hari mulai hari ini berikutan 10 pelajarnya dijangkiti wabak tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Arahan penutupan serta-merta kampus itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pagi ini bagi mengelak penularan wabak berkenaan di kampus tersebut yang mempunyai kira-kira 5,000 pelajar.

Seorang lagi pelajar, Ezanee Abdullah, 18, berkata, pelajar dimaklumkan oleh pensyarah masing-masing serta pihak pentadbiran kampus bahawa ada kemungkinan kampus itu akan ditutup. ''Kami diberitahu bahawa kampus ini ditutup selama seminggu dan dibenarkan balik dengan syarat perlu diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing. ''Saya berpendapat adalah wajar kolej ditutup kerana virus ini berbahaya dan jumlah pelajar di sini bukan sedikit," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm (23rd July 2009)

UiTM Seri Iskandar tutup seminggu
IPOH 22 Julai - Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini ditutup selama seminggu selepas 280 pelajarnya disyaki menghidap penyakit selesema babi atau influenza A, H1N1. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kampus berkenaan yang menempatkan seramai kira-kira 10,000 pelajar dan kakitangan wajar ditutup bagi mengelakkan virus berkenaan terus merebak.

''Pada mulanya, seramai 55 pelajar disyaki menghidap penyakit tersebut pada semalam tetapi kes itu telah meningkat dengan mendadak kepada 280 orang pada hari ini.

''Jadi kita tidak pilihan selain daripada menutup keseluruhan kampus tersebut dan semua yang terlibat dengan penyakit itu dikehendaki menjalani kuarantin di rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hang Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil sepuluh contoh daripada 280 pelajar terbabit dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kampus tersebut hanya akan dibuka semula pada 31 Julai selepas pihak Jabatan Kesihatan melakukan kerja-kerja pembersihan dan mencegah penyakit tersebut.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga sedang membuat siasatan lanjut kerana kes berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Kampus UiTM Lendu, Melaka dan Kampus UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, penduduk di sekitar UiTM Seri Iskandar dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak pergi ke kawasan yang sesak dengan orang ramai serta menjaga kebersihan diri.

''Kalau ada yang terkena demam, batuk dan sesak nafas yang kuat mereka mesti segera mendapatkan rawatan segera di hospital berhampiran," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar dan kakitangan universiti mula meninggalkan Kampus UiTM Seri Iskandar kira-kira pukul 3 petang. Pada masa sama, pihak Jabatan Kesihatan juga dilihat mengedarkan topeng muka kepada pelajar dan kakitangan universiti tersebut bagi membendung penularan selesema babi.



Komen:

UiTM Lendu, Melaka
UiTM Seri Iskandar, Perak
UiTM Permatang Pauh, Pinang
UiTM Dungun, Terengganu

UiTM Sungai Petani, Kedah (Dekat dengan Thailand) ?? (Apakah langkah2 pencegahan)??
UiTM Segamat, Johore (Dekat dengan Singapura) ?? (Apakah langkah2 pencegahan)??

Saturday, July 18, 2009

ISA di Mansuh


URLhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm (18th JULY 2009)

Abdullah mahu ISA dimansuh
Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua kiri) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi bergambar kenangan bersama para akademik sebelum Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia di Dewan Muadzam Shah UUM di Sintok, semalam. – BERNAMA
________________________________________

SINTOK 17 Julai - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan. "Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan. Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya. Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan. "Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori. "Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.

Komen: Mahukah Najib dengar kata-kata Abdullah (selepas Abdullah turun)?!

Sunday, July 12, 2009

Guru Sokong Permansuhan Dasar Bahasa Inggeris


Komen:

Apa kurangnya bahasa Melayu digunakan sebagai ‘bahasa ilmu’. Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14, Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa antarabangsa ('Lingua Franca'). Pada zaman moden pula, bahasa Melayu banyak pinjam dan guna perkataan dari bahasa Jawa, bahasa Inggeris, bahasa India, bahasa Cina, dan sebagainya – maksudnya, bahasa Melayu di zaman moden sudah mantap, sehingga boleh digunakan sebagai ‘medium’ untuk mengajar pelajar di IPTA.

Bahasa Melayu pula digunakan dengan rasmi di mahkamah-mahkamah dan Parliament di Malaysia.

Jadi kenapa pula kita hendak susahkan pelajar kita, yang baru hendak mengenali huruf, dengan mengajar mereka matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Dengan mengajar dalam bahasa Melayu pun ramai yang gagal matapelajaran tersebut, ini pula hendak mengajar dalam bahasa Inggeris. Kajian dan Statistiks yang dijalankan secara ‘sulit’ oleh pihak kerajaan, NGOs dan individual juga mendapati ramai pelajar gagal setelah bahasa Inggeris diperkenalkan sebagai bahasa ilmu sains dan matematik di sekolah.

Ini bukan bermakna bahasa Inggeris dilupakan terus, ia boleh diajar dan dimantapkan di sekolah sebagai bahasa kedua.

Nota: Guru pun pening bila disuruh mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, ini pula pelajar yang baru mengenali huruf.


URLhttp://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090712083410/Article/index_html (12th July 2009)
Guru sokong (Permansuhan Dasar)
Oleh FUAD HADINATA YAACOB

KUALA LUMPUR: “Sebagai bekas pendidik, kami menyokong keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris).“Sebenarnya sejak dulu lagi kami membantah pelaksanaannya, malah menghantar surat bantahan kepada kerajaan dan ini satu kejayaan,” kata Timbalan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Prof Datuk Dr Hussein Ahmad, mengenai isu PPSMI. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mesti dimantapkan, namun Bahasa Inggeris juga harus diberi tumpuan dan ini mesti dilaksanakan di semua peringkat, sama ada sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti secara sistematik,” katanya selepas merasmikan Seminar Wakil Perhubungan YGMB negeri, di sini, semalam. Menurutnya, beliau berharap dengan kaedah yang betul dan terbaik, kanak-kanak boleh bertutur dalam dua bahasa berkenaan dengan lancar.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu, sekali gus pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kembali kepada bahasa Melayu mulai 2012.

Sementara itu, Hussein berkata, YGMB yang kini memiliki 135,755 ahli di seluruh negara akan menyediakan lebih perkhidmatan.