Sunday, September 27, 2009

MENYAMBUNG catatan perjalanan saya, suami dan anak perempuan ke Victoria, Australia, kunjungan kami seterusnya ke bandar di pesisiran laut yang cantik, Warrnambool dengan harapan untuk melihat ikan paus. Kami diberitahu, jika bernasib baik, kami boleh melihat pemandangan segerombolan ikan paus yang mencapai angka sehingga 150 ekor.

Kami menunggu di pelantar meninjau yang disediakan, namun terpaksa beralah tidak lama selepas itu kerana angin laut yang bertiup kencang seiring dengan hujan mencengkam sehingga ke tulang sum-sum. Warrnambool yang berdepan Lady Bay adalah bandar terbesar di Great Ocean Road yang menawarkan pelbagai perkhidmatan bandar moden dan dalam masa sama mengekalkan suasana desa.Keadaan pantai yang dilindungi, taman dan kebun bunga yang terjaga menjadi tarikan berbanding kebisingan hidup di kota. Kami ada di sini dua malam dan mengambil kesempatan ke Port Fairy, kira-kira sejam perjalanan dari Warrnambool. Port Fairy adalah bandar bersejarah paling utama di Victoria dengan 50 bangunan lama diisytiharkan Yayasan Kebangsaan Australia. Pekan ini bukan sekadar kaya dengan sejarah, malah turut menggabungkan muara sungai laluan nelayan ke laut yang cantik. Ia boleh dikatakan perkampungan nelayan dengan deretan bot nelayan berlabuh di depan rumah penduduk.
Bot nelayan berlabuh di air bersih dan jernih di depan rumah dua tingkat yang selesa dan segar dengan taman di laman rumah. Begitulah rumah nelayan Australia. Kami berbual dengan seorang nelayan tempatan yang memberitahu dia keluar menangkap ikan jam 6 pagi dan pulang ke pangkalan di sini jam 5 petang. Itulah hakikatnya, walau apa pun pekerjaan mereka di sini, waktu bekerja tetap habis jam 5 atau 6 petang kecuali perkhidmatan penting dan utama. Portland menjadi tempat lawatan kami berikutnya. Bandar ini terletak di barat daya Victoria dan ia penempatan pertama orang dari Eropah pada 1834. Saya melihat Portland mengekalkan banyak bangunan bersejarah, termasuk rumah penduduk. Dari taman di bandar ini saya melihat kapal besar seluruh dunia berlabuh untuk memunggah masuk hasil pengeluaran penduduk tempatan, manakala kapal ikan tempatan pula menurunkan hasil tangkapan. Seterusnya kami ke Ballarat yang melalui ladang buah-buahan di kiri dan kanan jalan. Kami singgah di ladang strawberi yang terletak berdekatan jalan besar. Papan tandanya sungguh menarik, untuk sekilo strawberi berharga $10 tetapi harganya $7 jika kutip sendiri strawberi. Sudah pasti kami mengambil pilihan kedua. Sambil kutip, sambil makan.Penduduk Ballarat dulunya melakukan aktiviti melombong emas dan sehingga hari ini peninggalan aktiviti perlombongan dijaga dalam muzium di Sovereign Hill.Bertentangan Sovereign Hill ialah Muzium Emas yang menghimpunkan pelbagai rekaan koleksi emas. Aktiviti perlombongan emas juga dipamerkan di pusat pelancongan Eureka. Kesan kemewahan itu dapat dilihat hari ini dengan rumah besar nan cantik dengan kemudahan jalan raya yang luas di pusat bandar. Tasik Wendouree di Ballarat pula pernah menjadi tuan rumah untuk acara kayak pada Sukan Olimpik 1956 tetapi kini ia kering dan dipenuhi lalang. Dalam perjalanan kembali ke Melbourne, kami singgah di Bendigo dan Clayton dan menghabiskan masa tiga hari di situ. Di Clayton, kami ke Mornington yang mempunyai taman dengan pelbagai pokok bunga ros dan melihat pameran seni bina. Kami turut ke pasar basah Dandeenong dan melihat buah-buahan seperti oren dan aneka jenis epal. Yang membuat saya terkedu ialah harga sekilo cili padi ialah $50. Mahalnya!