Saturday, October 24, 2009


Bayaran khas RM500 untuk Gred 41-54, pesara
KUALA LUMPUR: Penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan akan menerima bayaran khas RM500 pada Disember ini.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan itu kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember.

Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM430 juta.

Terdapat kira-kira 1.2 juta kakitangan awam pada masa ini, bermakna sebanyak 340,000 lagi penjawat awam dalam Gred 41 hingga Gred 54 akan menikmati faedah itu sekarang.

"Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara dan diharapkan mereka akan menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Najib berkata, kerajaan menghargai komitmen dan kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat.

"Bagi mengalakkan pengunaan komputer, penjawat awam kini boleh membuat pinjaman kerajaan bagi maksimum RM5,000, sekali dalam setiap tiga tahun bermula tahun depan, berbanding sekali setiap lima tahun sekarang," katanya. - Bernama